Khamis, 1 Februari 2018

GULA: Peyumbang Kepada KOLESTEROL Tinggi


Ramai daripada kita tahu bahawa gula menyebabkan kencing manis dan obesiti. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa gula juga menyebabkan kolesterol tinggi. Perkara ini sangat berkait rapat dengan metabolisma gula di dalam badan kita.



Jika ingin faham kenapa makan gula boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam badan, anda kena faham perkara ini dahulu.⇩⇩⇩

Metabolisma gula dalam penghasilan kolesterol


Bila kita cakap tentang metabolisma gula ini secara asasnya ia adalah proses bagaimana penguraian gula berlaku sehingga ia menghasilkan tenaga atau produk lain seperti lemak, kolesterol dan hormon.

Metabolisma gula dalam penghasilan tenaga berlaku di dalam sel. Apabila gula memasuki sel badan, ia akan diuraikan menjadi acetyl CoA supaya ia boleh masuk ke dalam peringkat lain dan digunakan dalam penghasilan tenaga.

Bermula daripada atas, gambar ini menunjukkan bagaimana glukosa(gula) ditukarkan kepada Acetyl CoA. Ia juga akan masuk ke dalam ‘Krebs cycle’ untuk menghasilkan tenaga yang akhirnya berbentuk ATP(adenosine triphosphate


Jika seseorang itu banyak menggunakan tenaga sebagai contoh melakukan kerja berat, bersenam dan sentiasa aktif, maka kompaun acetyl CoA tersebut akan ditukarkan menjadi tenaga di dalam Mitochondria.

Mitochondria ini adalah salah satu organelle di dalam sel. Kita andaikan mitochondria ni seperti organ dalam badan. Organ dalam badan kan banyak dan mempunyai fungsi yang berlainan. Jantung untuk pam darah. Buah pinggang untuk buang urea dan creatinine dan kawal jumlah garam dalam badan. Begitu juga dalam sel. Ada organ-organnya seperti ribosom, mitochondria dan lain-lain lagi. 



Fungsi mitokondria adalah untuk menghasilkan tenaga daripada metabolisma gula,  lemak dan protein.





Jika seseorang itu tidak menggunakan jumlah tenaga yang banyak, maka acetyl CoA ini perlu disimpan dalam bentuk yang lain seperti lemak dan juga KOLESTEROL.

Sebab itulah jangan terkejut jika anda sihat, tetapi anda mempunyai bacaan kolesterol yang tinggi dalam darah.


Gambar menunjukkan proses penghasilan kolesterol dimana 
bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan kolesterol adalah daripada acetyl CoA

Makan makanan yang banyak kolesterol tidak apa-apa?

Berdasarkan saranan yang dikeluarkan oleh Jabatan pertanian US(US department of agriculture), mereka mengatakan bahawa kolesterol merupakan satu bentuk nutrien yang tiada masalah jika diambil secara berlebihan. 

Jangan terkejut pula kenapa jabatan pertanian yang bagi kenyataan tersebut kerana dibawah jabatan tersebut wujudnya pusat polisi nutrisi dan promosi(Center for Nutrition Policy and Promotion) di mana ia terlibat dengan penghasilan ‘Dietary guideline’.Ini adalah kenyataan daripada USDA dietary guideline

"Cholesterol is not a nutrient of concern for overconsumption"


Kalau di US banyak berita yang viral terhadap kenyataan ini. Ada yang mengatakan tidak mengapa makan banyak-banyak kolesterol sebab ia tidak akan diserap ke dalam badan. Tidak mengapa kalau kolesterol tinggi dalam badan, ia tidak akan menyebabkan sakit jantung, stroke dan sebagainya.

Big Pharma yang menjual ubat kolesterol hanya mengaut keuntungan secara buta-buta kerana kolesterol tidak menyebabkan sakit jantung. Dan banyak lagi kisah konspirasi yang keluar selepas itu.

Jadi kita nak bagi tahu beberapa perkara:

1) Makan makanan yang ada kolesterol tidak menyebabkan kenaikkan kolesterol yang tinggi di dalam darah. Ini disebabkan kebanyakkan bentuk kolesterol dalam makanan adalah bentuk kolesterol yang berester(esterified cholesterol) di mana kolesterol jenis ini sangat sukar di serap oleh usus. 

Satu kajian iaitu Shin et al(2013) menunjukkan pengambilan telur setiap hari tidak menyebabkan kenaikkan serum kolesterol dalam badan. Kita tahu telur tinggi dengan kolesterol tetapi pengambilannya tidak menyebabkan kenaikkan jumlah kolesterol dalam badan.

Walau bagaimanapun dalam kajian yang sama juga menunjukkan pengambilan telur oleh mereka yang mempunyai kencing manis meningkatkan risiko untuk terkena penyakit strok dan sakit jantung.

2) Jumlah kolesterol dalam badan kita majoritinya adalah dihasilkan oleh badan kita sendiri. Sebab itu, jika kita ingin merawat pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi kita akan bagi ubat jenis statin. Iaitu sejenis ubat yang akan merencat penghasilan kolesterol di dalam badan. Bukan daripada Kolesterol di dalam makanan.

3) Kolesterol dihasilkan oleh metabolisma gula yang akan menjadi acetyl CoA. Jika tidak digunakan Acetyl CoA akan ditukarkan menjadi kolesterol dan juga lemak

4) Walaupun kolesterol dalam makanan tidak diserap dengan baik oleh usus, tidak bermakna anda boleh makan-makanan yang berkolesterol tinggi sesuka hati seperti daging yang banyak lemak dan sebagainya. Kerana kita tahu bahawa makanan yang berkolesterol tinggi juga mempunyai lemak tepu(saturated fat) yang tinggi juga. 

Pengambilan lemak tepu yang tinggi juga akan menyebabkan kenaikkan dalam paras kolesterol dalam darah.

Malah pengambilan kolesterol yang tinggi pada pesakit yang mempunyai kencing manis juga akan menyebabkan kenaikan risiko penyakit seperti sakit jantung dan strok
Oleh itu, pengambilan makanan yang mempunyai kolesterol masih perlu dikawal dan tidak boleh diambil dengan sewenang-wenangnya.

Macam mana hendak turunkan kolesterol?

Disini saya sediakan beberapa tips untuk mengurangkan tahap kolesterol dalam darah?

1) Kurangkan pengambilan gula

Seperti yang saya katakan gula juga boleh ditukarkan menjadi lemak dan juga KOLESTEROL. Maka, ambillah ia secara berpada-pada. Ia disebabkan hasil metabolisma tersebut menjadi satu kompaun iaitu Acetyl CoA. Kompaun inilah yang menjadi unit asas bagi penghasilan kolesterol.

2) Kurangkan pengambilan lemak terutamanya lemak tepu(saturated fat) dan juga lemak trans(trans fat).

Lemak tepu ini bermaksud ikatan kimia diantara rantaian unsur karbonnya telah penuh ataupun ‘tepu’ dengan unsur hydrogen. Sebab itu kita panggil lemak tepi Lemak tak tepu pula bermaksud ikatan kimia diantara rantaian unsur karbonnya belum lagi tepu dengan unsur hydrogen. Unsur hydrogen masih lagi boleh dimasukkan ke dalam rantain karbon tersebut dengan menggunakan proses kimia iaitu proses penghidrogenan (hydrogenation).

Lemak trans pulak adalah sejenis lemak tak tepu. Tetapi bagaimana struktur ikatan kimia pada tempat yang tidak tepu itu berbentuk ‘trans’. Jika ia berbentuk ‘cis’, lemak tersebut adalah lebih baik. Lemak trans nih selalunya wujud apabila kita menggunakan minyak sayuran berkali-kali. Dan ia juga wujud sangat banyak di dalam lemak sayuran yang ditukarkan kepada lemak tepu dengan menggunakan proses ‘hydrogenation’.

Sebagai contoh yang banyak lemak trans adalah Marjerin

Gambar menunjukkan perbezaan diantara lemak tepu, lemak tak tepu dan lemak trans



Kajian menunjukkan pengambilan lemak trans adalah lebih berbahaya berbanding dengan lemak tepu yang sebenar iaitu daripada haiwan sebagai contoh butter.

Terdapat juga jenama yang meletakkan nama produknya ‘butter***’ tetapi ia sebenarnya bukan butter. Ia adalah marjerin. Oleh sebab itu, jika anda nak beli butter pastikan ia adalah butter yang original. Anda boleh tahun dengan melihat kandungan di belakang produk tersebut. Jika ia tulis bahan-bahannya daripada minyak sayuran, maka ia bukan butter yang original. Butter yang original adalah daripada susu haiwan.

Gambar menunjukkan terdapat trans fat yang tinggi dalam produk tersebut. Bahan yang digunakan pula adalah daripada minyak sayur yang dihydrogenkan. Sebab itu lemak trans nya tinggi

Selain itu, anda juga boleh kurangkan kolesterol dengan:

3) Mengurangkan berat badan
4) Melakukan senaman
5) Kalau tinggi sangat bacaan kolesterol, baru kita bagi ubat kolesterol.

Kena ingat ya, saya tidak suruh untuk tinggalkan gula secara sepenuhnya. Saya  tidak suruh tinggalkan lemak secara sepenuhnya. Tetapi apa yang kita perlu tahu adalah pengambilan makanan yang seimbang. Lemak ambil secara secukupnya, gula ambil secara secukupnnya, protein pun sama dan sayur-sayuran pun sama. Disamping itu tidak lupakan juga senaman.


Pengganti manis pula macam mana?
 
Apa yang saya mahu pembaca faham adalah kita kena kawal ketagihan kita pada makanan yang berasa manis. Maksudnya kita faham kalau kita mahu makan benda manis boleh, tapi pada kadar yang sepatutnya

Pengganti manis itu hanya akan menggantikan kemanisan kita pada benda lain sahaja. Ia tidak merawat perasan ketagihan kita. Sebab itu, kita sendiri kena berusaha untuk mengurangkan pengambilan makanan yang manis dan mengawal ketagihan tersebut.

Tanyalah mana-mana pakar permakanan ataupun pakar nutrisi, mereka tidak akan mengesyorkan pengganti gula. Tetapi apa yang mereka hendak adalah bagaimana kita kawal cara permakanan kita. Itulah yang paling utama.

Jadi hiduplah secara sederhana. Semoga artikel ini memberi manfaat.

Luv:
CikguJoy
The AngelGift Legacy Founder




Sumber Rujukan:
  1. Scientific Report of the 2015 Dietary Guidelines Advisory Committee. Part D. Chapter 1: Food and Nutrient Intakes, and Health: Current Status and Trends. https://health.gov/dietaryguidelines/2015-scientific-report/06-chapter-1/d1-2.asp
  2. Siri PW, Krauss RM.Influence of dietary carbohydrate and fat on LDL and HDL particle distributions. Curr Atheroscler Rep. 2005 Nov;7(6):455-9.
  3. Eckel RH, Jakicic JM, Ard JD, de Jesus JM, Houston Miller N, Hubbard VS, et al. 2013 AHA/ACC guideline on lifestyle management to reduce cardiovascular risk: a report of the American College of Cardiology/American Heart Association Task Force on Practice Guidelines. Circulation. 2014;129(25 Suppl 2):S76-99. PMID: 24222015. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/24222015.
  4. Shin JY, Xun P, Nakamura Y, He K. Egg consumption in relation to risk of cardiovascular disease and diabetes: a systematic review and meta-analysis. Am J Clin Nutr. 2013;98(1):146-59. PMID: 23676423. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/23676423
  5. Hooper L, Martin N, Abdelhamid A, Davey Smith G. Reduction in saturated fat intake for cardiovascular disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2015, Issue 6. Art. No.: CD011737. DOI: 10.1002/14651858.CD011737.
  6. de Souza RJ, Mente A, Maroleanu A, Cozma AI, Ha V, Kishibe T, Uleryk E, Budylowski P, Schünemann H, Beyene J, Anand SS. Intake of saturated and trans unsaturated fatty acids and risk of all cause mortality, cardiovascular disease, and type 2 diabetes: systematic review and meta-analysis of observational studies. BMJ. 2015 Aug 11;351:h3978. doi: 10.1136/bmj.h3978.

8 ulasan: